Tolong Jangan Biadap Dengan Allah!


alt

Amat menaikkan darah apabila sedang solat tiba-tiba ada orang melintas di depan kita. Jahilkah si dia ?. Biadap sungguh. Agak kerap berlaku, ketika kita menunaikan solat sunat selepas Jumaat, manusia-manusia biadap ini dengan selambanya melintas tanpa ambil kisah kita sedang menunaikan solat.

Amat perlu kita semua menasihatkan diri dan semua yang dikenali agar menjauhi sikap melintas di hadapan orang solat, terutamanya bagi mereka yang amat prihatin dalma hal solat. Salah satu tanda keperihatinan seseorang itu dengan solatnya adalah apabila ia meletakkan 'penghadang' khusus di depannya ketika solat sunat seorang diri.

Tegahan melintas di hadapn orang solat ini disebut dalam dua hadis ini, sabda Nabi s.a.w :-

لو يَعْلَمُ الْمَارُّ بين يَدَيْ الْمُصَلِّي مَاذَا عليه لَكَانَ أَنْ يَقِفَ أَرْبَعِينَ خَيْرًا له من أَنْ يَمُرَّ بين يَدَيْهِ قال أبو النَّضْرِ لَا أَدْرِي أَقَالَ أَرْبَعِينَ يَوْمًا أو شَهْرًا أو سَنَةً
Ertinya : Sekiranya seorang yang melalui di hdapan orang yang sedang bersolat ini mengetahui apa jenis dosanya (lalu di hadapan orang solat) nescaya untuk berhenti menunggu empat puluh lebih baik dari lalu di hadapan orang solat ini, berkata perawi : aku tidak tahu samada Nabi menyebut EMPAT PULUH hari atau bulan atau tahun" ( Riwayat Al-Bukhari) [1]

Dan sebuah lagi hadis menunjukkan besarnya dosa lalu dihadapan orang solat :-

إذا صلى أحدكم إلى شَيْءٍ يَسْتُرُهُ من الناس فَأَرَادَ أَحَدٌ أَنْ يَجْتَازَ بين يَدَيْهِ فَلْيَدْفَعْهُ فَإِنْ أَبَى فَلْيُقَاتِلْهُ فَإِنَّمَا هو شَيْطَانٌ
Ertinya : Apabila seorang kamu sedang solat dan mempunyai sutrah menghalangnya, dan jika tiba-tiba ada orang yang ingin mencerobohi hadapannya maka hendaklah ingin menegahnya, jika ia (yang ingin menyeberang) enggan berhenti, hendaklah kamu bersungguh menghalangnya kerana ia adalah Syaitan" ( Riwayat Al-Bukhari) [2]

Jelas dari dalil-dalil ini, sangat perlu untuk kita meletakkan sutrah (penghadang) agar tiada individu yang mendapat dosa kerana melalui di hadapan kita selain merosakkan solat kita. Selain itu, amat perlu juga kita menahan sekiranya terdapat individu ingin melintas sewaktu kita menunaikan solat.

Ada yang bertanya kepada saya, mengapakah dosa melintas ini kelihatan terlalu besar?. Jawabnya mudah.

Anggaplah apabila anda melintas di hadapan orang yang solat, individu tersebut telah menunjukkan kebiadapannya terhadap Allah s.w.t, tiada hormat kepada Allah yang sedang berhadap kepada orang yang solat. Keadaan ini jelas dari sabdaan baginda nabi s.a.w :-

فإذا صَلَّيْتُم فَلا تَلتَفِتُوا, فإنّ اللهَ يَنْصِبُ وَجْهُه لِوَجْهِ عَبْدِهِ فِيصَلاتِهِ مَا لمْ يَلتَفِتْ
Ertinya : "Apabila kamu solat, janganlahkamu menoleh (ke sana sini yakni tidak fokuskan pandangan), kerana Allah SWT mengarahkan wajahNya ke wajah hambanya yang sedang bersolat selagi mana hambanya tidak menoleh ke lain" ( Al-Bukhari dan Abu Daud) [3]

Jelas, individu yang lalu TANPA HORMAT kepada Allah dan orang yang bersolat melintas. Secara langsung juga, individu itu juga biadap kepada orang yang sedang solat.

Kesimpulannya, jauhilah sifat buruk dan dosa ini. Adapun ketika di Mekah yang terlalu ramai manusianya yang pelbagai ragam dan sikap, mungkin ada keringanan sedikit disebabkan keadaan yang tidak amat sukar dikawal, namun demikian saya yakin keadaan tersebut boleh dikawal di Malaysia. Jangan jadikan diri sebahgaian dari kumpulan biadap ini.

Sekian

zaharuddin.net

SUMBER ASAL

Program Remaja MABIT SAMBA (Malam Buat Ibadat Sambil Bakar Ayam)


Lokasi : Perkarangan Masjid
Masa : selepas Isyak
Tarikh : 11 Mac 2011 (Jumaat)



Tentatif Program

9.30 malam : majlis BBQ

11.30 malam : berkemas

12.00 pagi : tilawah Quran sebelum tidur

5.30 pagi : Qiamullail

6.30 pagi : Solat Subuh berjemaah dan Tazkirah Subuh

7.30 pagi : Sarapan pagi dan games

9.30 pagi : bersurai

p/s: semua remaja dijemput hadir.

SAIFULISLAM.COM Kuliah Ibrah Daripada Surah al-Kahfi Melabuhkan Tirainya

Sebahagian daripada buku rujukan yang saya gunakan di sepanjang siri Kuliah ini. Buku utamanya adalah Ma’a Qasas al-Sabiqeen fee al-Qur’aan oleh Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khaalidi

Alhamdulillah!

Kuliah bersiri Ibrah Daripada Surah al-Kahfi tamat malam ini.

Setelah setahun lebih menelusi empat kisah besar di dalam Surah itu, malam tadi di Surau an-Naim Wangsa Maju, kembara jemaah bersama kisah Ashaab al-Kahf, Lelaki Kafir Pemilik Dua Kebun, Musa dan Khaidir ‘alayhima al-Salaam dan Dzulqarnain, berakhir dengan rumusan Sayyid Qutb berkenaan teladan penting kisah Dzulqarnain.

Keempat-empat kisah utama yang terkandung di dalam Surah Makkiyyah ini, mendukung proses yang amat besar. Ia membetulkan sistem kepercayaan, membetulkan pandangan hidup dan cara berfikir (world view and mindset), dan ia juga membetulkan sistem nilai. Inilah rumusan sahib Tafsir fee Dhelaal al-Quran tentang enjin di sebalik peranan Surah al-Kahfi membentengi umat Islam daripada fitnah Dajjal.

Biar pun saya berusaha mengekalkan pembentangan pada hanya memperincikan apa yang diperincikan oleh Allah dan Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam, dan meninggalkan apa yang ditinggalkan oleh al-Quran dan al-Sunnah, kuliah Ibrah Daripada Surah al-Kahfi ini tetap memerlukan saya untuk membaca pelbagai bahan, sama ada yang menyokong atau bertentangan, yang datang dari sumber Islam mahu pun bukan Islam.

Salah satu slaid Powerpoint© yang digunakan semasa kuliah


KISAH ASHAAB AL-KAHF

Kisah ini membetulkan kepercayaan, serta cara untuk mempercayai sesuatu.

Ia adalah sebuah kisah yang amat ringkas pada jalan penceritaan. Namun ia dinobat sebagai kisah paling utama Surah ini. Ringkasnya cerita yang dianggap cerita terpenting, menyebabkan sebahagian kita cuba untuk meluaskan penceritaan dengan mencedok penjelasan di luar al-Quran dan al-Sunnah. Akan tetapi, jika kita komited dengan kaedah al-Quran membentangkan sejarah, yakni kisah-kisah umat terdahulu, kita akan menyingkap 1001 rahsia di sebalik kehalusan Allah Subhanahu wa Ta’aala memilih perkataan di dalam bait-bait wahyu Al-Quran.

Menegur peminat dan pembangga kisah pelik, membetulkan tanggapan terhadap anak muda, menghuraikan keunikan Rahmat Allah yang diminta Ashaab al-Kahfi, kerjasama tentera-tentera Allah yang tersirat untuk menyokong pemuda itu, keunikan umat Tauhid yang mempunyai sistem hitungan kalendar pada sebutan 300 tahun tambah 9, sikap orang awam dan ahli bid’ah pada membina masjid di atas kubur Ashaab al-Kahfi serta pelbagai lagi huraian tentang kepercayaan, cara berfikir dan cara menilai, menghiasi kisah ringkas tetapi kaya dan padat ini.

Ia memfokuskan kepada fitnah Aqidah yang menjadi senjata berbahaya Dajjal menyesatkan umat.

KISAH KAFIR PEMILIK DUA KEBUN DAN SAHABATNYA SEORANG MUKMIN

Kisah ini diperselisihkan Ulama sama ada ia kisah yang benar-benar berlaku atau ia sekadar tamsilan.

Namun dek kepentingan isi serta pembentangannya yang selari dengan tiga kisah lain di dalam Surah al-Kahfi, maka kita cenderung kepada pendapat Ulama’ yang menerima kisah ini sebagai kisah yang benar-benar terjadi biar pun kosong dari nama watak, serta tiada kisah yang selari dengannya di dalam Israiliyyat.

Ia membetulkan cara memandang lelaki kafir yang dua kebunnya subur dengan pelbagai tanaman, mengeluarkan hasil bersilih ganti tidak berhenti-henti, hingga tidak terbayangkan semua itu ada ajalnya. Menafikan Kiamat dan cuba menyedapkan hati dengan meyakinkan diri bahawa kekayaan dunia juga adalah kekayaan Akhirat, kepercayaan lelaki kafir yang kaya raya itu dibetulkan dengan nasihat mudah tetapi mendalam rakannya yang Mukmin.

Jangan disangka semua yang berhasil itu berada di dalam genggaman tangan sendiri, justeru sebutlah Masya Allah, Laa Quwwata illaa biLlaah tatkala melihat kesuburan tanaman yang diusaha.

Betulkan cara kita menaggap kehidupan.

Jangan tertipu oleh keindahan dunia transit hingga lupa kepada hakikat destinasi sebenar yang dituju.

Kisah ini menyediakan diri seorang Mukmin pada mendepani fitnah harta kekayaan sebagai senjata penyesat manusia.

KISAH PENGEMBARAAN MUSA DAN KHAIDIR ALAYHIMA AL-SALAAM

Ada peringkat-peringkat tertentu di dalam perjalanan hidup ini, yang Allah tangguhkan hikmahnya untuk digarap oleh akal manusia yang terhad.

Menjaga diri di dalam pelukan sabar, melihat yang tersirat di sebalik yang tersurat, tidak gopoh dalam mengejar faham, bersabar dan ikhlas dalam usaha mencari ilmu mengenal diri, alam dan Tuhan, kesemuanya dibentangkan dengan begitu unik di dalam kisah ini.

Ilmu yang datang bersama rahmat Allah.

Ilmu yang datang secara terpisah daripada rahmat-Nya.

Fitnah ilmu, turut menjadi lorong-lorong fitnah Dajjal menyesatkan umat.

Sebahagian jemaah ketika hadir ke kuliah-kuliah di Surau an-Naim – Foto ihsan surau-annaim.blogspot.com

KISAH DZULQARNAIN

Luasnya kerajaan Dzulqarnain, sama luasnya dengan kupasan yang wujud di dalam legasi ilmu tentang beliau.

Cyrus atau Alexander, mana satu Dzulqarnain? Yakjuj Makjuj itu Yahudi, Cina atau Turki? Siapakah kaum-kaum yang ditemuinya di dalam tiga kembara ke Barat, Timur dan Utara? Kesemua soalan itu enak dijadikan bahan kajian, hingga kita mungkin akhirnya terlupa, bahawa paksi utama kisah ini adalah Dzulqarnain dan kuasanya.

Dzulqarnain dipaparkan sebagai contoh mithali seorang pemimpin, yang Aqidahnya benar, Pandangannya luas dan bernas. Penilaiannya adil dan mengangkat penilaian Tuhan, Dzulqarnain membentangkan watak peribadi pemimpin yang Soleh, serta watak peribadi pemimpin yang berwawasan. Dia tidak menjadikan posisinya sebagai peluang mengaut kepentingan diri, tidak memperhambakan rakyat di wilayah baru, tidak memanipulasi kemunduran jiwa dan pemikiran rakyat.

Dzulqarnain memaparkan bentuk good governance yang baik, sebagai teladan buat pemimpin yang menjunjung Taqwa.

Dzulqarnain bukan sahaja berintegriti tinggi, malah kompetensinya luar biasa.

Beliau bukan sahaja menerima pelbagai kelebihan ilmu dan kemahiran, malah lebih utama beliau itu memanfaatkan kelebihan-kelebihan tersebut, serta memelihara tatacara kerjanya seperti yang ditunjukkan di dalam kembaranya ke daerah Utara.

Adunan besi dan tembaga sebagai pengukuh radmun (gunung binaan), tidak sama sekali mengatasi sadd (gunung ‘semulajadi’), malah ketika berada di kemuncak pencapaian sains dan teknologi, Dzulqarnain memulangkan segalanya kepada Rahmat Allah, serta mengingatkan ajal segala makhluk, termasuk tembok agung yang hari sudah rebah, hingga wajah Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam menjadi merah, tatkala mimpi diperlihatkan Allah, Yakjuj dan Makjuj tidak lagi terkurung di belakang tembok, tetapi sudah menjadi sebahagian komuniti dunia.

Maka Laa Haula wa Laa Quwwata illaa Billaah!

Fitnah kuasa, juga bertindak sebagai cabang musibah Dajjal menyesatkan manusia. Wal’iyaadhabillaah!

Sebahagian contengan nota

Semoga siri kuliah ini diberkati Allah dan lunyainya buku digantikan dengan ganjaran Mardhatillaah buat penyampai dan penerima, ameen.


KLIK KE LINK ASAL SAIFULISLAM

Carilah Jalan Kembali

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah yang boleh menyampaikan kepadaNya (dengan mematuhi perintahNya dan meninggalkan laranganNya); dan berjuanglah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam) supaya kamu beroleh kejayaan." - Al-Maidah: Ayat 35


Jasad kita berasal daripada tanah.

Ia harus kembali kepada asal kejadiannya untuk mencapai kepuasan.

Disebabkan itulah kita makan apa yang tumbuh daripada tanah, juga binatang-binatang yang memakan hasil tanah.

Tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan semuanya tumbuh daripada tanah.

Apabila jasad memperoleh sumber makanan daripada permukaan bumi, maka ia akan kenyang, tenang dan bertenaga.


Ruh kita datang daripada Allah, ditiupkan ke dalam jasad.

Maka ruh takkan mencapai ketenangan selagi ia belum kembali kepada Tuhan.

Untuk mencapai kepuasan ruh/jiwa/hati, tidak ada jalan lain melainkan kembali kepada penciptanya. Maka carilah jalan kembali.

Bukan kembali dengan kematian jasad, tetapi kembali dengan menghidupkan hati. Ya, jiwa yang kering kontang menggambarkan jauhnya kita daripada Tuhan.

Jiwa yang tak terisi dengan ruh Iman dan Taqwa akan diisi dengan keduniaan. Hakikatnya dunia itu takkan habis dikejar.


Makin kita punya harta, makin jiwa kacau tak senang duduk. Terikat dengan material.

Makin kita punya pangkat, makin tinggi yang ingin kita kejar dan capai.

Makin kita punya apa sahaja yang kita inginkan, makin kita inginkan sesuatu yang lebih lagi untuk kepuasan.

Hakikatnya jiwa kita menderita, tak puas dan tak mencapai ketenangan, ketenteraman.


Bukan ertinya kita harus terkurung meninggalkan dunia luar, itu adalah satu fahaman yang salah.


Sebaliknya, gunakanlah apa sahaja yang ada atas dunia ini demi mencari jalan kembali kepada Allah.


Biar jasadmu keluar mencari anugerah Allah di atas muka bumi, tapi jangan sekali-kali membiarkan hatimu melayang hilang terputus daripada pergantungan kepada Ilahi.



Jangan sekali-kali memisahkan dunia daripada Tuhan, dan meminggirkan Tuhan dalam segenap kehidupan.


Padahal Allah tak memerlukan kita, kita yang memerlukan-Nya.


"Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan." - Az-Zumar: 54


Allah telah menyeru dan akan sentiasa menjawab panggilan kita saat kita mencari-Nya.

Cuma kita yang belum benar-benar tekad untuk kembali kepada-Nya.

Atau mungkin kita sering berusaha kembali, namun dunia tetap memesongkan kita dan lebih menarik hati kita.


Maka kita tak jadi kembali.

Kita berputus asa dan tak mahu lagi mencuba untuk kembali, padahal Allah tak pernah jemu menunggu kita menyeru melainkan kita sendiri yang jemu untuk meminta dan meniti jalan menuju-Nya.


Ingat, jangan berputus asa daripada Rahmat Allah:


"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." - Az-Zumar: Ayat 53



Wahai jiwa yang sentiasa menyesali diri, di ceruk manapun kau berada, apakah kau merasa bebas daripada pengawasan Allah?


Dalam keadaan manapun kau berada, adakah kau merasakan Allah tidak mengetahui isi hatimu?


Sombongnya engkau tatkala kau pergi memalingkan wajahmu daripada Ilahi.


Sedangkan Dia tak pernah menutup pintu taubat bagimu.

Maka wahai manusia, kembalilah kepada Tuhanmu. Jika kau tak temui jalan, carilah... Kau tidak bertemu kerana kau tidak mencari.



SUMBER : ILUVISLAM